Thursday, August 5, 2010

Dasar Pandang ke Timur


Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang erat di kalangan seluruh rakyat, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran Negara secara bersama di samping membina masyarakat yang progresif. Dengan itu, kerajaan telah melancarkan beberapa dasar awam yang menyentuh pembangunan ekonomi dan pentadbiran. Dasar awam boleh didefinisikan sebagai arah umum yang ingin dituju oleh kerajaan berkaitan dengan masalah tertentu. Salah satu dasar awam ialah Dasar Pandang ke Timur yang dipolopori oleh Tun DDr. Mahathir bin Mohamad pada tahun 1982.

Latar belakang.
Malaysia telah memilih visi sebagai sebuah negara dan bangsa industri yang moden. Namun, dari segi kewangan dan teknikal Malaysia banyak bergantung kepada bantuan negara luar terutamanya Barat. Demi mengubah dasar daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian, kerajaan mula berpaling kepada negara-negara timur khususnya Jepun, Korea dan Taiwan. Dasar ini melibatkan usaha kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai dan amalan yang baik dari Jepun dan Korea Selatan yang diubahsuai di Malaysia demi untuk membangunkan negara. Dasar ini sebenarnya mengambil dan mengubahsuai nilai dan amalan yang baik dari orang Timur dalam meninggikan daya pengeluaran, memajukan teknologi dan meningkatkan taraf pembangunan sosio-ekonomi.

Matlamat
Mencapai kemajuan yang pesat dalam jangka waktu yang singkat di samping memelihara nilai ketimuran iaitu negara dapat mencontohi teknologi tinggi yang terdapat di negara-negara timur berdasarkan kepada satu kebudayaan dan cara hidup yang hampir sama antara satu sama lain. Contohnya mengambil sikap dari masyatakat negara Jepun yang rajin, tekun, gigih, suka bekerja, berdisiplin dan lebih betanggungjawab. Dasar ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) yang bermatlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat melalaui dasar ini yang mana kemajuan ekomoni diperolehi hasil daripada kepesatan teknologi moden dapat menambahkan pendapatan negara. Kedudukan ekonomi yang kukuh ini pula memberi ruang kepada negara untuk mengurangkan masalah yang wujud di kalangan masyarakat dan ia juga dapat mengecilkan jurang ekonomi antara masyarakat yang menbawa kepada kehidupan yang aman dan stabil.

Pelaksanaan
Selaras dengan dasar tersebut kerajaan telah memperkenalkan beberapa perubahan struktur seperti konsep pejabat terbuka, penubuhan kumpulan peningkatan mutu kerja dan juga konsep “Bersih, Cekap dan Amanah” serta “Kepimpinan Melalai Teladan” bagi membentuk sikap positif dan membina di kalangan pekerja. Selain itu, kerajaan juga telah menghantar pelatih-pelatih ke Korea dan Taiwan Selatan untuk memepelajari teknologi dan sistem pengurusan di negara tersebut iaitu bekerja sambil belajar di firma-firma swasta. Kerajaan juga telah mempelawa pelabur dari kedua-dua negara tersebut dengan menawarkan peluang pelaburan yang lebih mudah dan menyediakan beberapa insentif lain. Maka, kepakaran teknologi dan ilmu pembuatan barangan dapat diimport dari negara-negara Timur melalui projek usahasama malah hubungan diplomatik dua hala ini dipereratkan lagi melalui lawatan-lawatan pemimpin.

Kesan Pelaksanaan
Pelaksanaan dasar ini memberi banyak kebaikan kepada negara seperti bertambahnya pelaburan dari Jepun dan Korea di negara kita. Pertamabahan pelaburan ini dapat mengurangkan pengangguran kerana bertambahnya peluang pekerjaan. Salah kejayaan yang paling besar ialah negara kita mampu mengeluarkan kereta nasional iaitu Proton Saga dan kejayaan ini merupakan satu langkah untuk mengeluarkan jentera bergerak menggunakan hasil keluaran tempatan dengan sepenuhnya pada masa akan datang. Kualiti kereta ini juga setanding dengan kereta-kereta lain dan kereta Proton Saga ini juga mula dikenali di negara-negara luar dengan usaha gigih kerajaan mempromosikan kereta tersebut.

Cita-cita untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju adalah tidak dilupakan maka dengan itu, Lembaga Industri Berat Malaysia (HICOM) telah ditubuhkan hasil usahasama antara Malaysia dengan Jepun dan secara tidak langsung, segala teknologi moden dapat disalurkan ke negara ini. Melalui dasar ini juga telah wujudnya projek-projek infrastruktur yang bercirikan ketimuran seperti Jabatan Pulau Pinang, bangunan Dayabumi dan Lebuhraya Utara-Selatan. Selain itu, terdapat juga kemudahan sosial yang wujud iaitu kompleks dan pasaraya seperi Yoahan, Hankyu dan Kimisawa dan ini dapat mengurangkan pengaliran keluar wang ke negara luar.

Kritikan dan Pandangan
Pandangan-pandangan ini lebih ditumpukan kepada Negara Jepun yang banyak diberi perhatian oleh Negara luar. Umum mengetahui bahawa rakyat Negara Jepun adalah rakyat yang rajin dan mereka bekerja 2,100 jam setahun berbanding dengan negara Eropah yang bekerja dalam lingkungan 1,700 jam setahun. Oleh itu, Amerika Syrikat telah meminta syarikat-syarikat Jepun mengurangkan masa bekerja supaya keluaran industri dapat dikurangkan untuk mengimbangi lebihan dagangan Jepun dengan negara-negara lain. Menurut pandangan masyarakat Jepun yang mengatakan pensyarikatan Malaysia tidak berjaya kerana tiada hubungan dan kerjasama erat di antara ahli politik, birokrat, akademik dan eksekutif malah para pemerhati di Jepun juga mengatakan bahawa dasar tersebut adalah satu cara pemimpin Melayu mengelakkan keterlibatan orang Cina dalam meninggikan ekonomi orang Melayu. Dengan kata lain, adalah untuk mengelakkan pergantungan dagang daripada kaum Cina sekaligus mengeratkan hubungan dengan Jepun.

Menurut mereka lagi, masih terdapat keadaan di mana kepentingan pengurus dan pekerja yang jauh berbeza dan banyak pertentangan kerana hubungan tegang dan konflik. Malah, kelompok pengurus yang berasal dari Jepun mempunyai bahasa dan budaya yang serumpun, sementara itu para pekerja Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan cara hidup mereka sendiri. Jurang perbezaan yang jauh ini tidak memungkinkan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak, maah di kalangan masyarakat Malaysia sendiri yang masih ada rasa perkauman dan agar sukar dihapuskan.

Antara pandangan lain yang menyebabkan tidak berlakunya kerjasama antara kedua-dua pihak ini ialah diwarnai dengan sikap stereotaip yang mana dalam fikiran para pengurus Jepun telah terpahat kata-kata bahawa orang “Melayu” lambat manakala orang bukan Melayu rajin. Oleh itu, mereka kurang memberi perhatian kepada orang Melayu walaupun ada di kalangan orang Melayu yang rajin bekerja dan akibatnya timbul rasa tidak puas hati. Selain itu, berlaku juga konflik di tempat kerja yang sukar dikawal ini akan menjejaskan produktiviti yang akhirnya akan merugikan majikan. Dapat dirumuskan bahawa Dasar Pandang ke Timur lebih banyak memberi kebaikan kepada negara kita iaitu dengan memeberi nafas baru kepada masyarakat dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan dihormati.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.