Thursday, August 5, 2010

ZOPFAN dan Antartika

Konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)

Sebagai blok yang boleh disifatkan bukan komunis di Asia Tenggara, ASEAN sebenarnya lebih berpegang kapada dasar berkecuali. Malaysia telah menyarankan supaya diwujudkan kawasan awam, bebas dan berkacuali (Zone of Peace, Freedom and Neutrality atau ZOPFAN) telah diterima sebagai pendirian ASEAN. Konsep dan dasar ini telah diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971.

Penubuhan ZOPFAN

Terdapat beberapa faktor dan peristiwa penting yang telah berlaku di Asia Tenggara telah mendorong timbulnya konsep ZOPFAN ini. Antara faktor-faktornya ialah kedudukan Asia Tenggara yang agak strategik kepada kuasa-kuasa besar dalam konteks ketegangan politik Timur-Barat, pergolakan politik di Vietnam serta keputusan pengunduran tentera-tentera British dari Asia Tenggara dan Amerika dari Vietnam pada awal 70-an. Perkembangan-perkembangan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan negara-negara ASEAN kerana ianya mungkin menjejaskan kestabilan serantau. Faktor kedua disebabkan peperangan-peperangan di Korea dan Vietnam telah menyakinkan ASEAN bahawa campurtangan dan sokongan tentera kuasa-kuasa besar dalam pertelingkahan negara-negara kecil Asia Tenggara sering menjejaskan kestabilan di rantau ini. Faktor terakhir ialah semangat ‘regionalisme’ masa itu telah menghasilkan pertubuhan kerjasama ekonomi serantau ASEAN yang dapat digunakan sebagai jentera untuk mencapai tujuan ZOPFAN.

Objektif ZOPFAN

Objektif ZOPFAN adalah untuk menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkacuali daripada pertelingkahan politik kuasa-kuasa besar Khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan Republik Rakyat China. Bagi memastikan objektif penubuhan ZOPFAN beberapa strategi perlaksanaan telah dirancang. Antara strategi utama yang telah digubal dan dilaksanakan ialah mendapatkan persetujuan, pengiktirafan dan jaminan daripada kuasa-kuasa besar tentang objektif atau usaha menjadikan pengunduran tentera asing dari kawasan Asia Tenggara dalam jangka panjang dan menjadikan kawasan Asia Tenggara ini bebas daripada senjata nuklear.

Dapat dilihat di sini bahawa ZOPFAN tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kesanggupan kuasa-kuasa besar untuk mengiktiraf dan menjamin ZOPFAN dan sokongan padu kesemua anggota negara-negara ASEAN. Walau bagaimanapun, usaha ASEAN mencari penyelesaian politik di Kampuchea berdasarkan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Persidangan Antarabangsa mengenai Kampuchea (1981) mencerminkan tekad ASEAN untuk terus berusaha mencapai konsep ZOPFAN.

Antartika

Yang Amat Behormat Perdana Menteri menimbulkan isu Antartika ketika berucap di sesi ke 37 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bulan September 1982. Isu ini ditimbulkan sekali lagi dalam sidang kemuncak Negara-Negara Berkecuali dalam bulan Mac 1983 di mana Malaysia telah berjaya mendapatkan pengesahan dan sokongan negara-negara tersebut untuk menghendaki PBB membuat satu kajian menyeluruh mengenai Antartika dalam sesi ke 38 PBB. Lanjutan daripada desakan itu satu ketetapan telah diambil dalam sessi ke 38 PBB supaya Setiausaha Agong membuat satu kajian yang menyeluruh mengenai isu Antartika termasuk 'Antartika Treaty System' dan pengagihan sumber-sumber asli yang terdapat.

Dalam bulan November 1984 Malaysia berjaya mendapatkan ketetapan PBB untuk memasukkan isu pengagihan sumber-sumber asli Antartika dalam agenda PBB yang akan datang. Namun begitu, disebabkan bantahan daripada negara-negara 'Antartika Treaty System', terutamanya Amerika Syarikat dan Rusia, Malaysia telah tidak berjaya mendapat ketetapan untuk penubuhan Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menggantikan 'Antartika Treaty System' yang ada.

Malaysia mengganggap benua Antartika sebagai penting dari segi pengaruhnya terhadap 'ecology' dan alam keliling dan cuaca dunia. Di Antartika misalnya terdapat 90 peratus daripada air tawar dunia yang terdapat dalam bentuk air batu dan salji. Ia juga mengandungi potensi bekalan bahan-bahan makanan dan bahan-bahan mentah galian seperti besi, arang, uranium, pelambam, nikel, kobalt, zeng, tembaga, timah, emas, perak, platinum, kromium, minyak dan gas. Di Antartika juga terdapat haiwan dan tumbuhan yang jarang terdapat di tempat-tempat lain. Benua Antartika juga dianggap strategis dari segi perhubungan memandangkan kedudukannya yang dikelilingi oleh empat buah lautan. Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut, Malaysia menyeru supaya Benua Antartika dijadikan warisan bersama untuk faedah bersama (common heritage for the common benefit) bagi seluruh dunia.

Pada masa ini pengurusan mengenai hal ehwal Antartika dibuat oleh wakil-wakil negara-negara yang menjadi ahli Antartika Treaty (December 1959). Malaysia berpendapat sistem tersebut hanya menguntungkan segolongan kecil ahli-ahli Antartika Treaty System. Struktur keahlian yang bercorak dua tingkatan (two-tier) adalah tidak adil kerana keputusan hanya boleh dibuat oleh 16 buah negara, ahli asal perjanjian tersebut, sungguhpun 12 buah negara lagi adalah menjadi ahli bersama. Sebaliknya 12 buah negara-negara ini hanya dibenarkan membuat kajian tanpa mempunyai kuasa untuk mengundi atau membuat keputusan. Ini adalah bertentangan dengan matlamat asal perjanjian asal di mana Antartika sepatutnya diurus oleh satu rejim antarabangsa untuk faedah manusia seluruhnya. Lagipun, kedudukan dalam tahun 1959 semasa Antartika Treaty System diputuskan adalah jauh berbeza dengan kedudukan sekarang. PBB pula masa ini terdiri daripada 160 negara di mana kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada negara-negara sedang membangun. Oleh itu, hak-hak dan aspirasi-aspirasi serta pandangan-pandangan mereka juga patut diberi pertimbangan dalam rejim antarabangsa Antartika.

Pengurusan mengenai Antartika yang berdasarkan sistem keistimewaan ini adalah tidak memuaskan. Negara-negara ahli asal telah mengadakan beberapa mesyuarat tertutup untuk penubuhan rejim bahan-bahan galian (minerals regime) untuk tujuan perlombongan bahan-bahan galian di kawasan-kawasan tertentu mereka. Negara-negara bukan ahli tidak di beritahu langsung tentang keputusan yang dicapai dalam mesyuarat mesyuarat tertutup ini. Dengan adanya Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu (Sea-Bed Convention on the Law of the Sea) dan cadangan mendirikan satu Jawatankuasa Antarabangsa 'Sea-Bed' (International Sea-Bed Authority), maka rejim galian (Minerals Regime) yang dicadangkan oleh ahli-ahli perjanjian di Antartika adalah didapati bertentangan dengan kebanyakan negara-negara lain.

Pada pendapat Malaysia, rejim galian (Mineral regime) ini adalah satu lagi percubaan oleh ahli-ahli perjanjian untuk memperluaskan lagi kuasa mereka. Lagipun, aktiviti-aktiviti perlombongan bahan-bahaaan galian, jika tidak dikawal dengan rapi boleh dan kemungkinan merosakan sistem 'ecology' yang terdapat di situ, dan ini akan melibatkan dunia keseluruhannya. Matlamat-matlamat konsep warisan bersama yang disuarakan oleh Malaysia ialah, bahan-bahan mentah Antartika digunakan untuk faedah manusia bersama, ekologidan alam sekitar dipertahankan, kerjasama dan penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik dan lain-lain serta Antartika digunakan untuk menggalakkan genjatan senjata, denuclearization dan demilitarization.

Selain daripada ahli-ahli 'Antartika Treaty Sistem', negara-negara yang lain telah memberi sokongan kepada pendirian Malaysia. Ini terbukti dengan kejayaan Malaysia memasukkan isu pengagihan bahan-bahan galian di Antartika dalam agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang akan datang pada tahun 1985. Pada pendapat ahli-ahli perjanjian, percubaan untuk menukarkan sistem yang telah diuruskan selama 24 tahun mungkin akan menimbulkan ketidak-stabilan di Antartika.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.