COLOURS OF 1MALAYSIA 2010 - Faces of 1Malaysia
Prinsip Malaysian Malaysia adalah berdasarkan meritokrasi bukan etnik dan agama. Di Malaysia, dakwa Lee Kuan Yew etnik Melayu telah diberikan kedudukan istimewa, kelebihan dan perlindungan di sisi undang-undang tertinggi negara. Sekali imbas, perlembagaan dilihat memihak kepada Melayu dan pada masa sama mendiskriminasi etnik lain. Dalam bahasa mudahnya perlembagaan berat sebelah. Maka, kerajaan yang memerintah juga akan menunjukkan sikap berat sebelahnya dalam mengagihkan kekayaan negara - satu aspek yang konkrit - terhadap kaum-kaum di Malaysia. Ini kerana kerajaan mengikut peruntukan perlembagaan tersebut dan kelihatannya terus mempertahankannya.
Tapi cuba kita lihat dari sudut yang lebih luas - secara holistik. Apakah benar prinsip Malaysian Malaysia tersebut adil dan akan memberikan kesejahteraan sosial, ekonomi juga akhirnya politik kepada rakyat Malaysia?
Dalam konteks ini, Chamil Wariya dalam bukunya bertajuk ‘Malaysia : 50 Fakta Asas Kenegaraan’ di halaman 107 menyatakan :
Malaysian Malaysia dikemukakan kepada prinsip sama rata di kalangan kaum-kaum utama di negara ini yang terang-terang menolak hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Yang ditekankan oleh Lee ialah meritokrasi, tanpa memikirkan bahawa di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu padang untuk mereka bersaing adalah tidak sama rata. Orang Melayu sudah tentu tidak dapat menerima pembentukan Bangsa Malaysia menggunakan acuan Malaysian Malaysia’
Atas dasar ini, kaum Melayu menolak gagasan Malaysian Malaysia kerana niatnya untuk meluputkan teras kenegaraan induk negara ini yang berasaskan sejarah. Justeru, kerangka asal kenegaraan Malaysia dikekalkan. Sehingga ke hari ini, selepas 52 tahun merdeka, peruntukan perlembagaan yang berkenaan iaitu Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 misalnya, tidak pernah dipinda. Ini bermakna kontrak sosial 1957 masih kekal. Sama ada ia masih relevan atau tidak dengan keadaan semasa hari ini ia perlukan penelitian mendalam oleh para penggubal undang-undang, budayawan, ahli akademik, selain pastinya ahli politik.Berbalik kepada konsep 1Malaysia tadi, adakah nasib orang Melayu akan terancam kerana kelihatannya 1Malaysia tidak 'mahu' menyebelahi mana-mana kaum ? Sejauh mana ia berbeza dengan Malaysian Malaysia? Tidakkah ia bercanggah dengan kehendak perlembagaan 1957?
0 comments:
Post a Comment