Saturday, August 21, 2010

Boria


Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Perkembangan yang melihat boria dari sebuah seni pementasan duka kepada riang ria menjadi lebih nyata menjelang kemerdekaan di mana boria mendapat bentuknya yang ada hari ini iaitu adanya segmen iaitu sketsa komik dan sikuan lagu tari. Sketsa sebabak (satu tempat kejadian lakonan). Contohnya jika sketsa itu kejadiannya berlaku di rumah, maka adegan lakonan/sketsa itu hanya berkisarkan suasana di rumah sahaja. Sketsa haruslah mempunyai mesej, nasihat dan berunsur humor. Rentetan sketsa ini akan dikupas kembali di dalam rangkap lagu untuk segmen ke dua iaitu di dalam senikata rangkap lagu oleh Tukang Karang. Persembahan pergerakan/tarian yang seragam mengikut kreativiti kumpulan yang terdiri dari Tukang Karang (Ketua/Solo Utama) dan Sailor (kini ada golongan yang menamakan “kelasi” yang memang ditentang oleh pengiat lama sebab “sailor” adalah nama khas untuk penari latar dari zaman dahulu.). Kedua-dua segmen ini saling bergantung di antara satu sama lain dalam menentukan mutu persembahan.

Pada asalnya, nilai estetika yang wujud dalam boria ialah para pelakon boria yang terdiri daripada lelaki sahaja. Watak wanita yang timbul akan dilakonkan oleh seorang lelaki yang memakai pakaian wanita sambil merendahkan suaranya agar tidak selantang suara lelaki. Lakonan akan dipenuhi dengan keunikan tersendiri seperti lawak jenaka yang sengaja direka untuk mengelikan hati penonton.

Sebaik sahaja babak lakonan berakhir, muzik pula akan dimainkan menandakan bermulanya bahagian kedua iaitu nyanyian. Si tukang karang iaitu ketua penyanyi dalam setiap kumpulan, akan mendahului para kelasi (penyanyi/penari latar) masuk ke pentas sambil memusing-musingkan “baton” di tangan. Nyanyian di mulakan secara solo oleh tukang karang yang kemudian diikuti oleh korus pihak kelasi.

FUNGSI BORIA

Fungsi pada masa dahulu adalah apabila gerakan Syiah bertukar menjadi pertubuhan yang berbau politik, teater ini dijadikan tempat mereka mencari pengaruh. Sambutan hebat didapati di merata tempat setiap kali diadakan persembahan. Golongan kaya pula membiayai kos persembahan seperti mengedarkan minuman secara percuma untuk menarik perhatian orang ramai. Oleh sebab itulah teater ini dikatakan turut berkembang selari dengan perkembangan fahaman Syiah. Dimana sahaja terdapat kaum Syiah teater ini pasti wujud.Maka berkembanglah teater ini ke Parsi, India dan seterusnya menjalar masuk ke Semenanjung Malaysia.

Fungsi boria untuk mengingati peristiwa Karbala yang hilang dengan mendadak. Tambahan pula boria mulai diresapi oleh samseng atau ahli-ahli kongsi gelap Melayu. Kongsi gelap Melayu yang dimaksudkan ialah kumpulan Bendera Merah dan Bendera Putih. Selepas kedua-dua kumpulan ini diharamkan kerajaan, boria telah dijadikan platform baru untuk mencari ahli dengan alasan ia merupakan sebuah permainan dan persembahan semata-mata. Berikutan pengharaman Bendera Putih dan Bendera Merah oleh kerajaan Pulau Pinang pada 1882, pasukan boria semakin berkembang. Ia dipercayai menjadi saluran untuk merekrut ahli-ahli baru untuk kumpulan bendera. Dengan alasan meneruskan kegiatan agama dan budaya, pasukan boria terus aktif setiap kali sambutan Muharam berlangsung.

Kejayaan mementaskan persembahan boria menjadi lambang prestij ketika itu. Oleh itu, ketiadaan kumpulan boria dalam sebuah kampung atau mukim dianggap sebagai sesuatu yang boleh memalukan penduduk kampong berkenaan. Inilah sebenarnya fungsi gunaan boria pada masa dahulu. Boleh dikatakan setiap kampung di Pulau Pinang mempunyai pasukan boria masing-masing. Kampung-kampung yang tidak mempunyai pasukan boria dianggap lemah dan dipandang rendah.

Pasukan boria dengan pengaruh samseng ini kemudiannya mendorong tiga ulama berpengaruh di Pulau Pinang yang mengeluarkan fatwa pengharamannya pada tahun 1920. Ulama yang terlibat ialah Tuan Sheikh Zachariah bin Omar Basheer, Tuan Sheikh Daud bin Tamim dan Tuan Sheikh Mustapha bin Ismail.

Rusuhan antara dua kumpulan kongsi gelap Melayu pada tahun 1867 memain peranan amat penting dalam membentuk boria yang ada sekarang. Hari ini boria telah mengalami perubahan yang amat ketara di mana dari fungsinya untuk mengenang pembunuhan Saidina Husin ia telah menjadi sebuah persembahan bersuka ria yang menjarakkan diri sama sekali dari ajaran, falsafah dan prinsip syiah serta kenangan pedih peristiwa Karbala. Ini menekankan konsep takziah dalam boria telah hilang sama sekali apabila ia menjadi sebuah burlesque. Apa yang dapat diketahui dengan pasti ialah boria kini adalah berbentuk pantomim berkabung sebelum menjadi burlesque yang ‘tidak mementingkan dialog dalam usaha mewujudkan perwatakan tertentu (seperti pengemis yang meminta derma).

Oleh kerana boria yang dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini bertujuan untuk meraih perhatian dan melatih pelapis samseng baru, boria dinyanyikan unuk tujuan pertandingan sambil memburuk-burukkan lawan. Selepas rusuhan 1867, boria berubah fungsi malah menjadi jentera propaganda pemerintah termasuk ketika perjuangan kemerdekaan. Ini berlaku apabila boria hasil kegiatan penonjolan perkumpulan adalah burlesque bercampur dialog ejekan, cemuhan melalui pantun pada peringkat halusnya hingga kepada lemparan kata-kata kias atau terus kepada peringkat kasarnya Perubahan ini pada peringkat permulaannya bertujuan untuk memelihara keamanan dengan pemerintah.Perkembangan yang melihat boria dari sebuah seni pementasan duka kepada riang ria menjadi lebih nyata menjelang kemerdekaan di mana boria mendapat bentuknya yang ada hari ini iaitu adanya segmen 1) sketsa komik dan 2) sikuan lagu tari. Boria kemudian menjadi satu jentera propaganda pemerintah. Bentuk ini dikatakan pernah diolah untuk melahirkan sokongan kuat ide kemerdekaan negara dalam tahun-tahun 1950an dan hingga sekarang fungsi propaganda sangat sesuai kepada boria kerana corak persembahannya yang ringan, riang ria dan tidak memerlukan masa persembahan yang terlalu lama. Dalam hal ini apa yang berlaku ialah dari sebuah pementasan yang bertujuan untuk memugar sejarah alternatif boria menjadi satu bentuk pementasan propaganda yang ‘ringan sifat penyampaiannya’

KEUNIKAN BORIA:

ORGANISASI KUMPULAN

Keunikan sesebuah kumpulan boria pada masa dahulu ialah setiap satu kumpulan boria hendaklah mengandungi 40 hingga 60 orang, termasuk tauke (penaja), tukang karang, kelasi dan pemuzik. Kesemua ahli terdiri daripada orang lelaki. Hanya selepas Perang Dunia Kedua barulah terdapat penglibatan wanita dalam kumpulan boria. Penyanyi dan pencerita utama yang dinamakan ‘Tukang Karang’ mesti berupaya menyampaikan lagu dengan sempurna, lantang dan terang. Tukang karang harus mahir memilih perkataan untuk dinyanyikan khususnya memuji tuan rumah atau penaja adalah sesuatu yang sangat diharapkan untuk memancing derma yang lebih. Sebab inilah tukang karang menjadi nadi penggerak untuk sesebuah kumpulan boria. Sesebuah kumpulan boria sering kali dibiayai oleh seorang tauke. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang melayu, tetapi juga orang Cina yang kaya dan sering kali menjadi tumpuan anak-anak muda untuk dipujuk menjadi tauke.

PAKAIAN

Pakaian pelakon lazimnya disesuaikan dengan cerita yang bakal diperanankan, namun begitu mereka juga memakai pakaian beraneka ragam yang berwarna warni untuk menarik perhatian penonton. Selain itu, nilai estetika yang terdapat dalam boria adalah pakaian tukang karang mempunyai ciri-ciri yang istimewa daripada ahli-ahli lain dalam kumpulan walaupun ahli-ahli yang lain turut memakai pakaian yang warna-warni. Pada awal tahun 60-an, timbul perkembangan baru dari segi pakaian. Kumpulan-kumpulan boria mula menggunakan pakaian seragam untuk menambahkan lagi daya tarikan pertunjukan mereka. Penggunaan `props’ juga bergantung kepada cerita yang hendak dimainkan oleh sesebuah kumpulan boria.


ALAT-ALAT MUZIK

Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang indah dan juga dapat mengiringi nyanyian tukang karang. Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendang dan violin. Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin baiklah persembahan tersebut. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordion, harmonika dan lain-lain. Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan adalah penting.. Sekiranya cerita yang dimainkan berlatarbelakangkan Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Muzik dan tarian yang dimainkan juga dengan lenggok Timur Tengah. Malah bahasa yang digunakan tukang karang pun bertelor Arab.

LAKONAN

Pada peringkat awal perkembangan boria di Tanah Melayu, seperti yang telah dimaklumkan, cerita-cerita yang dilakonkan berlegar di sekitar peristiwa Karbala dan kematian Saidina Hussein r.a. Cerita ini kemudian berubah menjadi cerita-cerita Arab yang berlandaskan Hikayat Seribu Satu Malam, ceruta-cerita sejarah, kejadian semasa, cerita-cerita Cina dan India malah cerita filem seperti Tarzan dan Zorro. Disamping itu keunikan boria boleh didapati dalam lakonan yang ditampilkan adalah secara sepontan. Skrip langsung tidak digunakan terutama pada peringkat awal perkembangan boria. Pengarah hanya bertindak memberitahu pelakon tentang tajuk dan jalan cerita yang hendak dimainkan oleh kumpulan berkenaan. Oleh itu, terserah kepada pelakon dan tukang karang untuk menjayakan lakonan di hadapan penonton. Di sini seseorang akan dapat melihat keistimewaan para pelakon mematahkan cakap lawan sambil menggeletek hati penonton. Para pelakon dapat memanjangkan atau memendekkan lakonan menurut kemahuan mereka sendiri serta penyesuaian masa. Walau bagaimanapun, unsur kelucuan masih dianggap sebagai faktor yang amat penting bagi setiap persembahan boria. Pada masa kini, tema yang paling popular adalah berdasarkan isu-isu kemasyrakatan dan kritikan sosial.

NYANYIAN

Kebanyakan nilai-nilai estetika boleh didapati dalam nyanyian. Tukang karang biasanya mendahului para kelasi dan pemuzik masuk ke pentas selesai sahaja lakonan berakhir. Para pelakon yang mengambil bahagian pada awalnya tadi turut masuk sebagai kelasi. Terdapat kelasi yang membawa payung dan tongkat panjang yang mempunyai genta di hujungnya. Mereka menyanyi dan menari sambil memutarkan payung tersebut untuk menyerikan persembahan. Tongkat dihentakkan kelantai dan ini menyebabkan bunyi genta di hujung tongkat saling bertingkah dengan irama muzik yang dimainkan mengiringi boria tersebut. Keadaan ini menambahkan lagi keasyikkan pendengaran penonton. Oleh itu terserah kepada tukang karang dan pelakon untuk menjayakannya.

Rangkap korus yang dinyanyikan oleh kelasi biasanya dicipta berasaskan sketsa yang dipentaskan sebelumnya, dan susunan lirik lagu tadi berbentuk syair. Selalu juga boria akan memuji penaja atau golongan berada dan ternama yang hadir. Rangkap-rangkap awal nyanyian bersifat pujian kepada tuan rumah atau pengundang. Rangkap pertama lagu boria memperkenalkan kumpulan mereka dan rangkap inilah yang akan menjadi korus untuk lagu tersebut. Seni kata lagu mengandungi suku kata yang seirama di setiap hujung rangkap. Iaitu jika ritma `ta’ digunakan pada hujung baris pertama maka hujung baris yang seterusnya dalam rangkap yang serupa mesti mempunyai bunyi `ta’ dan bukannya `da’ atau `be’ walaupun masih dikekalkan bunyi `a’. Contohnya :
Talip bin Talib suatu cerita,
Membuang isteri kerana bercinta,
Asyik Aminah mengenal harta,
Sungai Pinang cahaya mata.


Ketika akhir persembahan, kumpulan boria mengucapkan salam, ucapan selamat tinggal serta memohon ampun di atas segala tindak-tanduk, perli, kiasan, ejekan, sakat dan sindiran mereka sepanjang persembahan. Dewasa ini gerak langkah tarian telah dikareografkan dengan pelbagai langkah tarian moden. Penggunaan pancaragam dan kugiran yang mengiringi juga telah menambah kemeriahan boria. Contohnya:

Sebagai penutup penyudah kalam
Kami sekalian memberi salam
Sekalian saudara luar dan dalam
Berjumpa lagu di lain malam

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.