Saturday, August 21, 2010

Y.A.B TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

mahathir

Y.A.B TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD (1981-2003)

Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.

Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star.

Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.

Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan.

Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.

Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.

Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.

Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.