Wednesday, August 4, 2010

Dasar Pendidikan Kebangsaan



Pendidikan merupakan satu proses yang penting dalam pembentukan diri setiap individu ke arah mengenali diri dan mencapai kehidupan yang baik dan sempurna. Prof. Dr. Muhammad Naquib mendefinisikan pendidikan sebagai menanam sesuatu ke dalam diri manusia. Pendidikan di Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan negara dan juga telah diiktiraf sebagai alat untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional.





Sejarah Penubuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan


Sejarah penubuhan dasar ini adalah semasa dalam tahun menuju kemerdekaaan dan timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa betapa pentingnya diwujudkan satu sistem pendidikan yang baru bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara. Dasar ini telah lahir melalui Penyata Razak 1956 dan termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1957. Kesedaran ini juga timbul bagi menggantikan sistem pelajaran yang tidak memuaskan yang mana telah disusun oleh penjajah dan berkembang tanpa mempertimbangkan keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Hal ini kerana, penjajah tidak menggalakkan kaum bumiputera Malaysia menimba ilmu ke tahap yang tertinggi dan jika ada sekalipun, anak-anak Melayu ini hanya diberi pendidikan untuk menghasilkan satu generasi bertani yang lebih moden sedikit. Tetapi keadaan ini hanya disedari selepas tercapainya kemerdekaan dan melalui kesedaran ini juga telah melahirkan Dasar Pelajaran Kebangsaan pada tahun 1961.





Objektif Pelaksanaan Dasar


Objektif pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1957 ialah merupakan satu sistem pendidikan yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet dibentuk dan mewujudkan beberapa bidang tugas tertentu. Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi setiap jenis sekolah, melicinkan tatacara pengurusan pendidikan dan mengadakan peluang pendidikan asas sembilan tahun. Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan akibat daripada pelaksanaan dasar tersebut.





Kesan Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan


Semenjak ditubuhkan, dasar ini masih belum boleh dikatakan berjaya dan mencapai objektifnya. Walaupun sudah banyak sumber manusia yang telah disumbangkan kepada pembangunan negara tetapi sebilangan dari mereka tidak mampu menunjukkan nilai akhlak dan budi pekerti yang mulia kerana ramai dari kalangan intelek cendekiawan yang terlibat dengan skandal dan jenayah kolar putih. Media pernah mendedahkan kegiatan rasuah dan penipuan di kalangan para pegawai kerajaan dan penggelapan wang rakyat. Contohnya ialah skandal BMF yang melibatkan wang yang berjumlah berjuta-juta ringgit. Keruntuhan moral di kalangan pelajar juga menunjukkan bahawa dasar tersebut belum mencapai objektifnya kerana masalah ini semakin berleluasa. Misalnya, kajian yang pernah dijalankan terhadap 90 buah sekolah di seluruh negara menunjukkan terdapat seramai 343 orang pelajar terlibat dalam penagihan dadah dan ini bermakna hitung panjang murid yang menagih dadah di setiap sekolah adalah 4 orang. Selain itu, terdapat juga pelajar yang membunuh diri kerana gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi dan contoh kes ialah Norasiah Mamat pelajar tingkatan 3 yang mengantung diri pada 14 haribulan 4 tahun 1998. Jelas menunjukkan bahawa dasar ini belum mampu membentuk insan yang berakhlak dan tidak mencapai kesempurnaan ilmu. Dikatakan dasar ini tidak mencapai matlamatnya ialah kerana tidak mempunyai falsafah sedangkan falsafah, matlamat, objektif dan isi kandungan adalah penting dalam menentukan pengisian untuk mendidik insan.





Pelaksanaan KBSM


Oleh itu, pada tahun 1988 Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) dibentuk. Pembentukan ini menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Menengah yang dikatakan tidak berjaya mencapai matlamat sebenar pendidikan. Melalui ini, nilai-nilai Islam telah diterapkan melalui nilai-nilai murni. Kaedah pendidikan ini menekankan tiga aspek utama iaitu aspek ilmu dan kemahiran, aspek nilai dan aspek bahasa. Namun, aspek nilai murni yang lebih ditekankan bahkan ia dijalankan secara bersepadu. Dengan itu, penerapan nilai-nilai Islam dapat dilihat dalam nilai-nilai murni yang dilaksanakan secara bersepadu di dalam kokurikulum setiap mata pelajaran yang diajar. Misalnya, aspek nilai murni yang dilaksanakan dalam setiap mata pelajaran termasuklah nilai berdikari, keberaniaan, kebersihan, kejujuran dan baik hati. Nilai-nilai ini jelas menunjukkan bahawa nilai tersebut dianjurkan oleh agama Islam. Tegasnya tidak dapat dinafikan dan diragukan bahawa KBSM mempunyai ciri-ciri penting pendidikan Islam untuk melahirkan warganegara yang mempunyai kesatuan fikiran dan perasaan sebagai satu ummah dan taat setia kepada negara. Dalam nilai-nilai murni KBSM juga telah diterapkan dengan akhlak yang berasaskan dengan nilai-nilai Islam yang sesuai dengan falsafah Al-Quran dan As-Sunnah di samping guru-guru menjadi teladan yang boleh membentuk jati diri pelajar. Melalui ini juga pelajar digalakkan menjelajah dan mengkaji isu-isu akhlak yang berteraskan Islam dan moral setiap kaum.

Krisis Pemikiran yang Menghalang KBSM





Mementingkan Matlamat dari Dasar dan Falsafah.


Namun, sebelum KBSM benar-benar sempurna dan berjaya, maka penyakit utama yang perlu disembuhkan terlebih dahulu ialah “krisis pemikiran”. Terdapat beberapa perkara yang terlibat di dalam krisis pemikiran ini iaitu mementingkan matlamat dari dasar dan falsafah. Terdapat sebilangan dari kalangan rakyat Malaysia yang mementingkan matlamat untuk melahirkan ahli sains dan teknologi bagi menyediakan lebih banyak tenaga rakyat dan tenaga kerja mahir untuk mencapai kemajuan negara dan perpaduan tetapi masih ramai siswazah yang menganggur, rukun negara tidak dihormati dan perpaduan kaum masih belum tercapai. Masalah ini tidak akan tercapai selagi dasar pendidikan tidak disertai dengan falsafah. Oleh itu, semua orang hendaklah berpegang dan berpandukan kepada falsafah untuk mencapai matlamat pendidikan bagi melahirkan insan yang baik.





Mengagungkan Perspektif Barat.


Sifat menagungkan pendidikan dari Barat adalah berat sebelah kerana kemajuan tidak hanya terdapat di Barat malah ilmu yang luas juga terdapat di dalam tamadun Timur, Timur Jauh, Timur Tengah khasnya Islam dan Tanah Arab. Oleh kerana terlalu mengagungkan kemajuan dari Barat yang kini menghasilkan senjata kimia yang mengancam nyawa umat manusia di dunia menyebabkan para belia di negara maju mengalami keruntuhan akhlak dan moral. Keadaan ini juga turut berlaku di negara kita kerana mengambil pendidikan Barat malah Barat juga mengamalkan prinsip sekular yang mana agama diasingkan daripada aspek kehidupan lain termasuklah pendidikan. Oleh itu, pemikiran yang berorientasiakn Barat hendaklah dihapuskan dan memegang kepada falsafah KBSM yang baru untuk mencapai matlamat melahirkan insan kamil.





Mementingkan Akal daripada Akhlak.


Realiti pendidikan di Malaysia hari ini ialah mementingkan kejayaan individu, kebendaan dan kemewahan semata-mata dan aspek akal telah dikembangkan untuk melahirkan insan yang berjaya. Akibatnya, lahirlah cendekiawan yang tidak berakhlak dan tidak bermoral maka timbullah jenayah kolar putih dan kejatuhan moral di kalangan pelajar sudah cukup mencerminkan sisitem pendidiakan yang tidak sihat. Oleh itu, kita perlu berpegang kepada falsafah pendidikan yang menekankan aspek kerohanian di samping menanam ilmu untuk mewujudkan generasi yang mahir, berfikiran dan berakhlak. Selain itu, matlamat KBSM ini akan dicapai jika guru-guru mempunyai nilai-nilai murni yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah serta mempunyai nilai-nilai moral yang sesuai dengan KBSM supaya dapat membentuk generasi yang juga mempunyai nilai murni.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.