Wednesday, August 4, 2010

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya. Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020

Matlamat Dasar Pembangunan Nasional

Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomidengan pengagihan yang saksama, memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan, mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia, menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar, membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara, memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat, menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden dan memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin, menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi, meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat dan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.

Pendekatan Pelaksanaan DPN

Terdapat beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti. Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan melalui pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan. Kedua, persaingan dalam pasaran antarabangsa di mana DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi.

Pendekatan ketiga melalui wawasan 2020 iaitu dimana penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara dan pendekatan terakhir untuk membasmi kemiskinan dimana Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar. Dengan itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial.

Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain. Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan.

DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.

Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN. Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.