Wednesday, August 4, 2010

Dasar-dasar Utama Kerajaan: DEB

video


Seterusnya, pengubalan dan pelaksanaan dasar-dasar adalah ditentukan dengan selaras nilai-nilai sosioekonomi dan politik negara pada satu-satu masa. Oleh kerana sifatnya yang dinamik, dasar kerajaan berubah-ubah mengikut nilai masyarakat dan pucuk pimpinan dari semasa ke semasa. Namun begitu, pada asasnya dasar-dasar kerajaan digubal dan dilaksanakan bagi memenuhi objektif sosioekonomi seperti pertumbuhan ekonomi, pengagihan pendapatan, kestabilan dan kesejahteraan umum. Bagi Malaysia, dasar-dasar kerajaan ini terutamanya dasar-dasar pembangunan mempunyai objektif tersendiri seperti mencapai matlamat 2020 bagi tujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju dan mempunyai ciri-ciri sempurna. Bukan itu sahaja, kerajaan juga melaksanakan dasar-dasar adalah bertujuan mencapai matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang adil.

Antara dasar yang dijalankan oleh kerajaan ialah Dasar Ekomoni Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional iaitu dasar ini diwujudkan dengan tujuan untuk mengukuhkan ekonomi negara kita Malaysia. Manakala dasar sosial yang diwujudkan pula ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pandang ke Timur. Selain itu, kerajaan juga telah mengubal dasar-dasar luar negara dengan tujuan menjaga kepentingan Malaysia dari segi ekonomi dan sosial, dasar tersebut ialah Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali ( ZOPFAN ) dan juga Dasar Antartika.

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991. Walaupun begitu, elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

Sejarah Penubuhan DEB

Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk kepada pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 teks kod rumpun utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep "Malaysia untuk orang Malaysia" yang yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.

Kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. berkuatkuasa 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusteraan

Pembentukan DEB

Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk muhibbah Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri, daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18 Julai 1969.

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah DEB adalah seperti yang kita ketahui disusun dan dijalankan menerusi serampang dua mata iaitu untuk mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi.

Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi di bandar juga. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur, menambah daya pengeluaran dan pendapatan, memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan luar bandar dan bandar dan antara wilayah, memodenkan kehidupan di luar bandar, mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputra, mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia dan akhir sekali memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran seperti kesihatan, latihan, kemudahan-kemudahan infrastruktur dan lain-lain.

Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham atau ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan bumiputera sebanyak 30%, bukan bumiputera 40% dan 30% terdiri daripada pelabur-pelabur dari luar negara. Dalam mencapai matlamt penyusunan semula DEB, beberapa strategi telah disusun iaitu dengan meningkatkan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luar bandar, mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum. Dalam perlaksanaan DEB juga dapat menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, DEB juga dapat membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi pada tahu 1990 dan menubuhkan beberapa agensi seperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera dan Amanah Saham Nasional dan akhir sekali memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA, KEDA dan sebagainya.

Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula mesyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan di atas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangan, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari pelbagai sektor terutamanya sektot swasta.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.