Wednesday, August 4, 2010

Isu –Isu yang Melibatkan Aspek Dasar yang Utama


Isu ekonomi

Dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan 'pecah' dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan. Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar. Melalui perpaduan kaum yang kukuh tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju. Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara adalah melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta.

Antara isu yang ditimbulkan adalah arah dan kadar pertumbuhan ekonomi negara. Dasar Malaysia yang pragmatik dan fleksibel telah membolehkan ekonomi negara menghadapi keadaan yang mencabar. Langkah yang tegas telah dilaksanakan untuk memperluas dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan. Usaha berterusan juga diambil untuk mengembangkan sektor perkhidmatan, meningkatkan nilai ditambah sektor pembuatan serta mempergiatkan sektor pertanian dan asas tani sebagai enjin ketiga pertumbuhan. Sumber pertumbuhan baru terus digalak dan dibangunkan, seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, produk halal dan kewangan Islam. Kita juga giat membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, dipacu oleh inovasi dan idea.

Bukan itu sahaja, masalah pengeluaran yang menurun dan tenaga buruh adalah merupakan isu ekonomi dalam dasar negara. Pengangguran dikategorikan sebagai tenaga buruh tetapi tidak menyumbang kepada keluaran negara. Oleh itu pengangguran boleh di definisikan sebagai tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang aktiviti ekonomi tetapi sedang giat mencari pekerjaan dalam ekonomi. Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah pengangguran. Perubahan sektor ini juga berlaku kerana kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam pasaran dan sebagainya. Pengangguran yang berlaku dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi. Pengangguran yang tinggi kadarnya akan meningkatkan kadar kemiskinan dalam negara. Kerajaan terpaksa merancang beberapa program untuk mengatasi masalah kemiskinan. Ini akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memajukan negara. Apabila pendapatan negara berkurangan, maka kerajaan tidak dapat menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur yang perlu untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan tersebut terpaksa dikurangkan dan akan melambatkan proses pembangunan negara. Apabila terdapat ramainya tenaga buruh yang menganggur, maka pengeluaran dari beberapa sektor ekonomi akan berkurangan dan akibatnya keluaran negara bagi negara berkenaan akan berkurangan.

Kerajaan hendaklah memberi perhatian terhadap usaha untuk menyelesaikan isu ekonomi agar negara dapat keluar daripada situasi ekonomi yang tidak begitu baik. perhatian utama harus diberikan dengan menggariskan satu tempoh masa yang sesuai selain menyusun keutamaan, membuat keputusan dan memanfaatkan masa. Perhatian yang harus diberikan ialah cara bekerja, menyelaraskan tugas dan tanggungjawab, menggerakkan segala program yang telah disusun, cara wang dan sumber yang telah diperuntukkan dibelanjakan dan mempunyai kesan yang diharapkan oleh pimpinan negara. Oleh itu, kerajaan menyelesaikan isu ekonomi dengan menangani banyak masalah berlaku di peringkat bawah dan menguruskan hal penting dalam soal pentadbiran.

Isu Politik

Sistem politik di Malaysia sebelum kehadiran penjajah adalah berasaskan sistem feudal terutamanya di Semenanjung Malaysia. Sistem feudal berkonsepkan setiap kerajaan mempunyai raja atau sultan sebagai ketua serta berkuasa mutlak ke atas kerajaan dan rakyatnya. Hal ini, bersifat warisan atau turun temurun dan tidak melibatkan penyertaan rakyat. Kehadiran penjajah telah merampas kuasa yang ada di tangan raja-raja Melayu yang hanya terbats dalam bidang agama dan istiadat semata-mata. Pada zaman penjajahan, kuasa politik dijadikan sebagai alat untuk pembangunan ekonomi. Hal ini bermakna pemilihan kuasa pemilihan pemerintah berada di bawah tangan rakyat melalui pilihan raya. Sistem ini menjadi asas kepada pembangunan politik di Malaysia dan telah diguna pakai sejak merdeka sehingga sekarang.

Di Malaysia, kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada pelbagai komponen parti yang secara terus atau tersembunyi berasaskan perkauman. Rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN untuk membentuk kerajaan semenjak merdeka lagi. Suasana pentadbiran aman dan baik dapat mewujudkan kestabilan dan mendorong pembangunan dari aspek yang lain juga.

Walaubagaimanapun, terdapat isu yang berkait berdasarkan politik ini. Salah satu isu politik adalah polarisasi kaum. Pemimpin-pemimpin kita gemar mengadu mengenai masalah polarisasi kaum. Walaupun di universiti ataupun di pejabat, sesiapa pun boleh lihat bahawa rakyat lebih gemar bergaul dengan rakan dari kaum yang sama. Inilah sebab kerajaan mengadakan program Khidmat Negara supaya dewasa-dewasa muda tidak perlu takut berkawan dan bergaul dengan rakan-rakan dari kaum yang lain. Memang benar, usaha ini harus dilaung, tetapi ia bukan satu penyelesaian untuk masalah polarisasi kaum yang sudah ke tahap yang amat serius. Sejak kecil lagi, masyarakat kita dibahagi mengikut kaum dam kurang menggalakkan perpaduan kaum, ternyatalah tindakan ini adalah terlalu lambat. Oleh kerana itu, sistem pendidikan rendah dan menengah kita mesti dibentuk semula untuk mengelak pembahagian dan perpisahan mengikut barisan kaum.

Biasanya sistem yang diamalkan sekarang akan mengelakkan isu perpaduan dan pergaulan antara pelajar-pelajar daripada keturunan yang berlainan. Kalau terdapat cukup peluang untuk kanak-kanak bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada keturunan lain di luar sekolah, kita masih boleh mengelak persoalan polarisasi kaum. Tetapi, ini bukanlah isu yang kecil jika hanya mempunyai kawan daripada satu kaum, ada kemungkinan jika boleh bergaul, kita boleh berinteraksi dengan mereka yang mengamalkan budaya dan agama yang lain. Tetapi dalam zaman urbanisasi ini, kita hidup dalam masyarakat di mana kanak-kanak tidak berinteraksi dengan jiran kerana mereka lebih gemar bersembang dan bergaul dengan rakan sekolah. Hakikatnya kini, anak orang Melayu belajar di sekolah kebangsaan, anak orang Cina belajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan anak orang India belajar sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Kerajaan hanya mewujudkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini. Menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris. Realitinya, kita sudah mengamalkan suatu sistem pendidikan berdasarkan segregasi.

0 comments:

Term of Use

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kerosakan kepada komputer yang berlaku semasa anda melayari blog ini. Untuk makluman anda artikel yang dimuatkan adalah adalah diambil dari pelbagai sumber dan pemilik-pemilik blog lain serta hasil tulisan penulis-penulis buku yang berkaitan. Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf sekiranya artikel atau penulisan yang kurang lengkap dan tidak dapat memuaskan hati para pelawat. Ribuan terima kasih ke atas pemilik blog lain yang mana artikel anda juga telah dipetik untuk dimuatkan di dalam blog ini. Adalah diharapkan agar segala maklumat dan penulisan dapat dikongsi dan disebar luas.